Luahan Hati Wanita Yang Dirogol Jin Saka (Kisah Benar)








Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Terima kasih admin kerana sudi menyiarkan kisah saya ini. Ini adalah kisah benar yang terjadi pada diri saya sendiri. Nama saya Alia. Pada asalnya, saya juga susah menerima hakikat ini. Saya dan adik-beradik selalu terlihat lembaga hitam yang besar seakan manusia setinggi kira-kira dua meter dan mencecah siling.

"Saya redha. Saya sudah menerima apa yang terjadi. Kadang-kadang saya terfikir kenapa seseorang itu sanggup 'mengorbankan' keluarga sendiri demi mewarisi adat nenek moyang yang jelas dan nyata bertentangan dengan ajaran Islam"

Saya terdetik untuk berkongsi tentang kisah ini apabila terbaca satu rencana mengenai jin saka ini. Saya ingin berkongsi pengalaman hitamnya dihantui jin saka yang diwariskan datuk kepada ayahnya. Saya menetap di luar negara hanya kerana ingin lari daripada gangguan menyeramkan dek angkara jin saka jahanam itu!

Datuk meninggal dunia ketika saya berusia 8 tahun. Sebelum dia meninggal, dia lumpuh selama setahun.  Sejak kematian datuk, selalu ada kesan lebam di badan saya terutamanya di bahagian paha ke bawah tetapi ibu selalu berkata bahawa semua itu normal kerana proses tumbesaran kanak-kanak yang aktif iaitu kerap terjatuh dan terlanggar sesuatu.

Ketika saya di sekolah rendah, ayah selalu bertugas di negeri lain menyebabkan kami tinggal berasingan. Ketika ketiadaan ayah, saya dan adik-beradik yang lain selalu ternampak lembaga hitam yang besar dan tinggi yang tampak kelihatan seperti manusia. Melihat lembaga yang mengerikan itu, saya selalu demam akibat terkejut. Apabila diadukan perkata ini, ibu dan ayah selalu menafikan perkara tersebut. "Itu hanya khayalan kamu sayang.."

Ibu pula selalu mengadu sakit pinggang dan bisa di kaki. Badannya terasa dicucuk jarum halus apabila ayah pulang. Di dalam rumah, selalu muncul serangga seperti belalang bersaiz 4 sehingga 8 cm panjangnya yang berwarna hijau keperangan. Serangga itu berbunyi bising dan menganggu ketenteraman kami di rumah.

Di bangku sekolah menengah, keadaan menjadi lagi teruk apabila tinggal bersama ayah. Saya selalu bangun lewat untuk ke sekolah kerana hampir setiap malam, badan terasa 'dihimpit' oleh lembaga hitam. Apabila bangun tidur, lebam sebesar syiling 50 sen dan ada juga yang lebih besar kelihatan di kaki dengan kesan gigitan. Pinggang terasa seperti dicucuk paku. Sebelum datang bulan, saya ada lebam di peha dan kitaran haid juga tidak normal sebab ada kalanya haid langsung tidak datang. 

Sebelum adanya lebam-lebam itu, serangga seperti belalang muncul dalam rumah bersama bau bangkai yang amat busuk dan meloyakan. Perkara ini kerap berlaku pada malam Jumaat dan badan saya akan berasa panas. Saya cuba mengadu pada ayah, tetapi dimarahnya saya dan ayah memberi pelbagai alasan untuk menidakkan perkara itu.

Disebabkan selalu sakit-sakit, ibu dan adik-beradik yang lain dikehendaki mengambil ujian darah kerana disyaki leukimia. Tetapi, kami didiagnos sebagai sihat. Itu membuatkan kami sangat hairan. Lama kelamaan, keadaan kami bertambah teruk, dan pemeriksaan moden gagal mengesan sebarang penyakit yang dihidapi, kami cuba pula alternatif lain iaitu perubatan tradisional. Ramai pengamal perubatan mengatakan bahawa kami sudah terkena 'buatan'.

Ada di antara mereka menyuruh kami mandi air garam, air daun, air tujuh masjid, air dari tujuh kolah, tujuh perigi, air zamzam. Ada juga yang menyuruh kami letak jala dalam rumah tetapi sakit-sakit badan dan lebam tidak juga beransur pulih, malah makin banyak. Perangai ayah juga berubah sejak kebelakangan itu. Setiap malam Jumaat, dia akan bergegas ke rumah nenek tapi sebelum itu dia akan mengamuk dan naik berang tanpa sebab hingga membuatkan kami ketakutan.

Kami teruskan juga dengan perubatan tradisional dan salah seorang pengamal mengatakan bahawa kami terkena 'buatan' dari belaan keluarga suami. Dia menyatakan bahawa kesan lebam-lebam itu berpunca daripada jin belaan ayah memakan darah sebagai perjanjian menjaga harta benda yang dimeterai dari zaman dahulu.

Beliau juga menyuruh kami membawa ayah turut serta berubat dengannya jika dia mahu berubat. Pengamal perubatan berkenaan menjelaskan sendiri perkara itu namun sebaik sahaja ayah mendengarnya, ayah menjadi marah dan tidak percaya. Keluarga belah ibu pula yang dituduhnya. 

Kali ketiga kami datang berubat, pengamal perubatan tersebut sudah tidak mahu menerima kedatangan kami kerana keluarganya pula yang dikacau dan isterinya dirasuk lembaga hitam berbulu. Yang peliknya, setiap pengamal perubatan yang cuba menolong kami, pasti menerima nasib yang sama iaitu diganggu 'saka' tersebut.

Sejak dari itu, keadaan ibu dan saya bertambah teruk. Kami selalu demam dan hampir setiap malam kami dihimpit dan bermimpi dirogol lembaga hitam besar yang mengerikan. Kami bertemu seorang ustaz. Selepas diperiksa, raut wajah ustaz itu terus berubah dan mula menerangkan perkara sebenar kepada kami.

"Keturunan sebelah ayah dulu ada membuat perjanjian dengan makhluk itu melalui perantaraan seseorang yang dianggap 'wali' ketika menuntut. Wali itu menghadiahkan 'khadam' untuk menolong menjaga harta benda dan keturunan anak cucunya, membuka kebun, penunduk selain menjadikan orang lain melihatnya gagah perkasa.

"Selepas datuk kamu meninggal, 'khadam' itu terbiar sekian lama, tidak diberi layanan seperti yang dijanjikan tuannya dulu lalu membuatkan ia mengamuk dan menuntuk janji tersebut. Sebelum kehadiran lembaga itu, akan ada bau busuk dan serangga seperti belalang atau serangga lain.

"Makhluk itu berbulu seperti seekor mawas, amat ganas dan memakan darah serta air mani manusia untuk terus hidup. Ia akan menggigit dan meninggalkan kesan kepada semua keturunan sebelah ayah" ujar ustaz itu. Ustaz itu juga menerangkan bahawa makhluk itu kadang-kadang menyerupai ayah dan sering merogol ibu dan saya ketika tidur. Apabila kami tidur, kami kadang-kadang bermimpi melahirkan anak.

'Khadam' itu juga berupaya memecah belahkan dan membuat kacau jika tuntutannya tidak dipenuhi. Tambah ustaz itu lagi, jika tidak berhati-hati, kemungkinan akan ada kematian kerana makhluk itu mahukan darah yang banyak. Saya tidak tahu betul atau tidak tetapi ramai ahli keluarga sebelah ayah mati muda. Wallahualam.

Kami terus berubat dengan ustaz itu. Tetapi masalah lebam dan mimpi dirogol masih berterusan. Saya juga kerap bermimpi anak kecil selain mimpi melahirkan dan menyusukan bayi. Pernah sekali antara separuh sedar, saya melihat lembaga hitam menyerupai ayah mengaku yang 'ia' sudah mati dan ingin memelukku. 

Apabila saya sedar, saya terus menjerit dan lembaga itu terus hilang. Dua-tiga hari selepas insiden itu, bau hanyir darah memenuhi setiap bilik di rumah kami. Semua cadar dicuci tapi bau tetap ada malah makin kuat. Kejadian aneh yang lain ialah bunyi sesuatu menghempap bumbung dan mencakar siling terutama pada tengah hari dan di waktu malam. 

Kelakuan ayah juga bertambah pelik. Dia membiarkan sekeping atap rumah terbuka di setiap bilik, meletakkan parang atau sebilah pisau kecil di bawah tikar, katil dan kerusi. Selera makan ayah juga sangat menghairankan kami kerana dia makan sangat banyak umpama dalam badannya ada 2-3 orang punya selera makan.

Ayah juga menyimpan keris kecil dan sehelai kain putih berbentuk gelang yang dililit. Setiap malam Jumaat atau malam Rabu, ayah akan memakai wangian yang baunya sungguh kuat dan akan membuka tingkap dengan luas. Ayah enggan untuk tidur bersama ibu. Dia hanya mengunci dirinya di dalam bilik yang lain. Saya pernah ternampak ayah bercakap seorang diri dan ketika itu di luar rumah ada bunyi serangga yang berdesing kuat.

Ustaz yang kami temui dulu juga ada berkata bahawa datuk tidak akan mati selagi 'amalannya' diturunkan kepada waris keturunannya dan dia nasihat ibu supanya meninggalkan ayah supaya kejadian buruk dapat dielakkan. 

Alhamdulillah, ibu setuju dengan kata-kata ustaz itu untuk meninggalkan ayah dan menetap di luar negara. Gangguan pelik dan menyeramkan kini sudah tiada bersama kesan lebam dan mimpi yang pelik-pelik. Syukur!

Jom amalkan doa dibawah:




loading...





loading...

0 Response to "Luahan Hati Wanita Yang Dirogol Jin Saka (Kisah Benar)"

Post a comment

loading...
loading...