Misteri Kain Putih Lusuh








          Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada pembaca. Kisah aku ini bermula apabila aku dan suami terpaksa berpindah ke Petaling Jaya atas urusan kerja. Suami aku dapat rumah sewa di kawasan Taman Medan dengan harga yang boleh tahan murahnya. Rumah sewa aku ini berdekatan dengan Pasaraya Matahari jadi senanglah aku nak beli apa-apa kan? Jalan kaki pun boleh pergi. Klinik Kerajaan Taman Medan pun dekat sangat.

           Kami tidak berasa apa-apa yang musykil sebab harga sewa yang murah di kawasan 'hotspot' itu. Bagai pepatah ada mengatakan, 'rezeki jangan ditolak, bala jangan dicari'. Pertama kali masuk rumah ini aku sudah rasa lain macam. Mana tidaknya, aku siap jumpa kain putih yang lusuh berlumpur kering di dalam bilik tidur aku. Ada juga 2-3 helai rambut panjang yang melekat pada kain lusuh berlumpur itu. Dalam hati aku terdetik, "Kain pontianak ke ni? Pontianak pun pandai tukar baju ke?" Aku tergelak sendirian di dalam hati. Tanpa berfikir panjang, aku terus campak kain lusuh itu ke dalam gawang tong sampah. "Gol!!" Hari pertama di rumah tu tiada apa-apa yang berlaku. Aku sangat gembira.

           Setibanya hari kedua, hal yang tidak diingini mula menimpa. Suami pergi kerja. Aku dalam bilik main game 'Mobile Legends', aku terdengan seakan orang mandi macam orang gila di bilik air diluar bilik aku itu. Jirusan air yang aku dengar macam gelojoh sangat nak mandi. Aku ketakutan lalu menangis. Aku segera telefon zauj yang disayangi. Suami suruh baca apa-apa yang patut. Bila bunyi orang mandi tadi sudah hilang, aku segera ke bilik air. "Ya Allah" Berus gigi aku dan suami sudah berada di lantai. Lantas aku mencuci berus gigi kami dan terus bergegas ke bilik lalu berehat.

           Bukan itu sahaja, pada waktu malam, gangguan yang dirasakan lagi dahsyat. Suami balik dari kerja dan dia kelaparan. Sebagai isteri yang solehah, aku segera menghidangkan juadah. Suami terus menjerit kata nasi ini sudah BASI dan bau HANCING! Aku hairan, macam mana boleh basi? Ditambah pula berbau hancing, bertambah bingung aku dibuatnya. Baru sahaja aku masak nasi itu. Suami aku terus bangun dan segera azan di tengah-tengah rumah. Habis sahaja dia azan, ada suara ikut azan, azan main-main, gelak-gelak dan ianya sangat menyeramkan bercampur ngeri. Menggigil aku dibuatnya. First time aku dengar benda-benda aneh begini. Suami terus tendang pintu bilik sampai terbuka! Dia nyalakan lampu, tapi tiada pun apa-apa kelihatan. Tapi, bilik berbau HANYIR seperti bau bangkai.

            Tanpa banyak cakap, suami dengan rasa marah terus menghubungi tuan rumah. Tuan rumah dengan senang hati cakap itu masalah peribadi penyewa. Lepas panggilan tamat, tiada lagi gangguan. Tapi, masa pulkul 1 pagi, ada benda ketuk pintu belakang dapur macam nak pecah. Ketuk bertalu-talu macam pencegah maksiat. Bunyinya kuat sangat! Suami terkejut sampai jatuh katil. Aku menangis ketakutan. Suami jerit kuat-kuat barulah benda itu diam. Kami tidur bertemankan ayat-ayat suci di telefon. Gangguan tiada sampai ke pagi. Syukur.

             Keesokan paginya, terdapat kesan lebam di peha dan di perut. Besar-besar pula lebamnya. Aku menjadi takut nak duduk di rumah seorang-seorang. Aku nak ikut suami pergi kerja tapi suami nasihat jangan takut. Aku memberanikan diri tapi aku terperap sahaja di dalam bilik. Dari pagi hingga ke petang tiada perkara aneh berlaku. Tapi,waktu suami balik dari kerja. Dia suruh tengok 'whatsapp'. Alangkah terkejutnya aku ada hantar chat mentera kat suami aku. Manteranya berbunyi, "terbang melayang-layang, ada di dahan, ................." Berderau darah aku baca chat berkenaan. Aku cakap pada suami bukan aku yang hantar mesej itu. Suami aku diam membisu. Suami kata buat tak layan sahaja. Nak cari rumah sewa lain, duit sudah habis.

             Lepas makan semua, malam itu lagi dahsyat! Benda itu mula main bakar-bakar. Tengah sedap tidur dibuai mimpi, kami terhidu bau asap. Rupanya dompet suami terbakar. Habis hangus duit, kad pengenalan semua. Memang seram campur sakit hati. First time aku tengok suami aku mengalirkan air mata. Belum reda lagi kebakaran, tiba-tiba semua frame gambar kahwin kami semua tiba-tiba retak serentak. Kami terdengan bunyi benda mengilai di ruang tamu punyalah nyaring dan kalau korang dengar mesti terkencing. Suami sudah tidak tahan lantas menghubungi seorang ustaz lalu minta tolong ustaz ke rumah dengan kadar segera. Ustaz tu kata, "saya di Kuantan ni,"

            Tiba-tiba, kami terdengar satu suara garau, "di Kuantan ya, hee,..hee". Suami aku terus buka pintu luas-luas dan menjerit, "jangan ganggu kami syaitan!!" Kami terus bersambung bercakap dengan ustaz di telefon. "Ustaz ada dengar tadi?" Ustaz tidak menjawab tetapi dia terus membaca sesuatu. Dia suruh suami azan disetiap penjuru bilik. Suami segera buat demikian dan gangguan terus tiada sampai ke pagi. Kami terus tidur.
Pada esok pagi, aku bangun, aku tiba-tiba ada di bilik air. Suami angkat masuk bilik. Suami tak kerja. Dia ambil cuti. Aku dah macam orang gila asyik takut saja. Aku paksa suami cari rumah sewa lain. Suami duduk termenung membisu.

             Pagi itu, aku ikut suami beli nasi lemak. Balik sahaja ke rumah, ada 2 ekor burung gagak terbang dalam rumah. Terkejut betul kami berdua. Lepas itu ada najis di atas meja makan. Hilang selera makan aku. Suami dengan marah menampar meja sambil cakap, "melampau betul!" Suami suruh kemas kain baju nak keluar dari situ. Suami cakap di rumah ini ada puaka tahap taiko. Aku tanpa membuang masa terus kemas baju. Suami pergi buang air besar. Masa aku tengah kemas baju, aku terdengar bunyi bising di dapur. Aku terus pergi tengok. Alangkah terkejutnya aku apabila ternampak makhluk berambut panjang sehingga pinggang, berambut kusut menutupi muka. Ia memakai kain putih lusuh yang aku buang sebelum ini. Ia berdiri di tengah-tengah dapur dengan tangan letak di perut berdiri kaku. Matanya merah menyala macam darah, merenung tepat ke arah aku. Lutut aku terasa lembik, mulut aku terkunci. 

            Aku tidak pernah nampak benda-benda ghaib ini, tapi bila sudah nampak ianya amat menakutkan! Aku cuba menjerit memanggil suami tapi aku gagal membuka mulutku yang terkunci ketakutan. Aku terus pengsan disebabkan susuk tubuh makhluk tadi yang sangat mengerikan. Bila aku sedar, aku sudah berada di pusat rawatan Islam. Sekarang, aku dan suami sudah tinggalkan rumah puaka itu. Kami cari rumah sewa yang baru. Alhamdulillah, kami dapat sebuah flat yang agak dekat dengan kemudahan awam. Di sini, tiada gangguan. Cuma satu benda sahaja yang buat aku pelik. Pada hari pertama di rumah sewa baru ini, aku ternampak kain putih lusuh di lantai. Bila aku terpandang buat kali kedua, ianya hilang pula. Mungkin hanya khayalan aku sebab aku masih trauma. Syukur ke hadrat Illahi, kami aman di rumah sewa baru ini. Tiada gangguan yang seram lagi mengerikan. Ini kisah benar bukan dibuat-buat. Bagi mereka yang mengalami masalah seperti ini, lekas-lekaslah cari rumah sewa lain. Salam.

loading...





loading...

0 Response to "Misteri Kain Putih Lusuh"

Post a Comment

loading...
loading...